M Update, 18/07/2022 – Wanita yang sedang berdepan dakwaan menghina Islam ketika melakukan persembahan komediri di sebuah kelab dekat Taman Tun Dr Ismail di sini, dijangka mampu melunaskan wang ikat yang dikenakan terhadap esok, hasil sumbangan dana awam.
Peguam belanya, R Sivaraj, berkata setakat pagi ini, sebanyak RM15,000 berjaya dikumpul dan yakin jumlah itu akan mencapai sehingga RM20,000 yang diperlukan.
“Ramai yang memberi sumbangan dan ada yang menawarkan untuk membayar yuran guaman Siti Nuramira Abdullah,” katanya seperti dilaporkan oleh portal dalam talian, FMT.
Katanya, pasukannya juga telah dihubungi oleh penderma dari seluruh dunia yang berminat untuk membuat sumbangan terhadap perjuangan Siti Nuramira di sisi undang-undang.
“Bayaran wang jaminan itu dijangka dibuat hari ini pada pukul 9 pagi,” katanya sambil menambah akan mengembalikan wang yang dibiayai orang ramai, sebaik sahaja kes anak guamnya selesai dan wang ikat jamin dibebaskan mahkamah.
Jumaat lalu, Sivaraj mengumumkan bahawa kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) akan membantu Siti Nuramira dan pasangannya, Alexander Navin Vijayachandran, untuk mengumpul dana yang diperlukan untuk jaminan mereka melalui sumbangan dana awam menggunakan akaun bank LFL.
Terdahulu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.
Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.
Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.
Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes. – Berita Harian