M Update, 31/01/2024 – Sultan dan raja-raja Melayu tiba di Istana Negara pagi ini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.
Mesyuarat itu dijadual berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada jam 11 pagi ini dengan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pada mesyuarat kali ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali ketiga. Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.