M update, 20/06/2024 – Tiada sekolah yang terkecuali dalam melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan berhubung pelaksanaan program berkenaan.
Pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.
“Kita pertegaskan, (sekolah) kena pakai dan rujuk garis panduan malah tidak ada sebarang masalah timbul setakat ini. Mana-mana sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan itu, kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakannya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang menyatakan sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP.
Noor Azimah sebelum itu memberitahu bahawa garis panduan baharu itu juga dengan jelas mengecualikan Sarawak, membenarkan semua sekolah rendah menjalankan DLP sepenuhnya sejak 2020, bermakna bahasa pengantar semua kelas Sains dan Matematik ialah bahasa Inggeris. – Sinar Harian