Input your search keywords and press Enter.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos Depan

M Update, 28/06/2024 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal pula 13 Ogos. Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 16 Ogos.

Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang dijadikan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang gagal menghentikan proses PRK Nenggiri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Pada 13 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada parti.

Sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi yang bertanding tiket Pas menang majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi. Calon BN, Ab Aziz Yusoff memperolehi 5,707 undi.

Mohd Azizi menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada 7 November 2023 mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan untuk memastikan kebajikan penduduk terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk kawasan Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Bersatu yang ketiga menyatakan sokongan secara terbuka kepada Anwar.