M Update, 05/07/2024 – Saya merayu sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka membabitkan kemalangan maut di Jalan Labohan Dagang-Nilai 11 Jun lalu tampil memberi maklumat kepada polis,” kata isteri mangsa langgar lari, Nurul Izzati Zul, 33.
Izzati, 33, dari Bangi berkata, arwah suaminya, Muzhaffar Omar, 35, dilanggar sebuah lori muatan sawit ketika menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala.
Menurutnya, kelmarin beliau hadir ke balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mendapatkan salinan laporan kemalangan untuk tuntutan PERKESO dan merasa kesal selepas mendapati laporan dibuat pemandu lori berkenaan tidak sama dengan kenyataan saksi kejadian.
Katanya, dia ingin mengetahui kejadian sebenar dan memerlukan rakaman ‘dashcam’ bagi membantu siasatan sekali gus memberi pembelaan kepada arwah suami.
“Saya bingung kerana polis mahukan bukti rakaman ‘dashcam’ dan saya tidak mampu membayar kos peguam untuk membawa kes ini ke mahkamah,” katanya di Facebook.
Pada 11 Jun lalu, arwah Muzhaffar terlibat dalam kemalangan di Jalan Labohan Dagang-Nilai kira-kira jam 3.50 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Arwah yang meninggalkan dua cahaya mata dikebumikan keesokan harinya selepas bedah siasat di hospital dan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak.
Izzati berkata, sebelum ini saksi kejadian ada berkongsi maklumat. Menurutnya, saksi kejadian menyatakan melihat arwah dilanggar dan pemandu lori melarikan diri kononnya bimbang dipukul orang ramai. – Berita Harian