M Update, 16/07/2024 – Sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat sempena acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jalan berkenaan ditutup sementara bermula jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
“Penutupan jalan secara sementara ini untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan tersebut dan sampai mengikut masa yang telah ditetapkan dan akan dibuka semula selepas melalui laluan berkenaan,” katanya.
Rusdi berkata, jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan menempatkan 387 pegawai kanan serta pegawai rendah polis bagi melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu lintas, menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya,” katanya.
Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui laluan yang terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahananggota polis trafik yang bertugas di lokasi.