Input your search keywords and press Enter.

Kematian Zulfarhan: Keputusan Rayuan 18 Bekas Penuntut UPNM Diketahui Esok

M Update, 22/07/2024 – Keputusan rayuan 18 bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu akan diketahui di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.

Keputusan itu akan diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin pada jam 9 pagi.

Seramai enam daripada 18 bekas penuntut yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 18 tahun merayu agar sabitan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu mencederakan tanpa niat membunuh Zulfarhan, digantikan kepada Seksyen 330 kanun sama iaitu kesalahan mencederakan dengan hukuman maksimum penjara tujuh tahun sahaja.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mengekalkan hukuman bagi Seksyen 304(a), mereka mohon hukuman penjara daripada 18 tahun dikurangkan kepada 12 tahun. Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pada hari sama, mahkamah juga akan menyampaikan keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun, supaya mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Permohonan silang itu dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara itu kerana mencederakan Zulfarhan.

Semua 12 pemuda itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Bagi pihak pendakwaan pula, memohon mahkamah mengekalkan Seksyen 302 sebagaimana yang dipertuduhkan di Mahkamah tinggi, dengan peruntukan hukuman gantung mandatori terhadap enam bekas penuntut tersebut. Mereka juga memohon mahkamah menaikkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun terhadap 12 lagi penuntut yang disabitkan atas kesalahan mencederakan Zulfarhan.

Pada 2 November 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut atas tuduhan mencederakan Zulfarhan tanpa niat membunuh, tujuh tahun lalu.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 1 Jun 2017.

Lima lelaki itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Hakim mendapati semua tertuduh itu bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – Sinar Harian