M Update, 25/07/2024 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia menzahirkan sokongan padu buat kontinjen negara yang menggalas misi merealisasikan impian emas pertama di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, yang bermula hari ini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia juga harus mendoakan agar kontinjen negara mampu menempa sejarah dan melakar prestasi baik serta meraih pingat dalam acara yang disertai.
“Sama-sama kita mengikuti, menyaksikan dan mendoakan ke hadrat ALLAH SWT mudah-mudahan team MAS berjaya, sama-sama kita ucapkan selamat maju jaya dan sukses kepada team MAS.
Selamat maju jaya buat 26 atlet negara. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian di Paris, insya-ALLAH,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beserta mesej ringkas melalui video berdurasi 56 saat.
Kontinjen Malaysia akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan berprestij itu menerusi penyertaan dalam sembilan jenis sukan iaitu akuatik terjun, akuatik renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan olahraga.
Negara memulakan saingan hari ini apabila pemanah muda negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi turun beraksi dalam acara recurve wanita sehari sebelum upacara pembukaan temasya sukan itu Jumaat ini.
Temasya itu, yang berlangsung empat tahun sekali, akan membuka tirai pada 26 Julai dan berakhir pada 11 Ogos.