Input your search keywords and press Enter.

Peraturan Media Sosial Bakal Diperkenalkan – PM

M Update, 30/07/2024 – Peraturan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenal oleh kerajaan adalah bertujuan mengatasi penyebaran jenayah serta maklumat berbahaya sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat.

“Marcapada dan kecanggihan teknologi menuntut mana-mana pihak khususnya warga maya untuk meletakkan ketertiban tinggi tanpa menimbulkan sensitiviti hingga menggugat keamanan dan ketenteraman ketika menggunakan mana-mana platform media sosial yang ada,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook semalam.

Pada Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perundangan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentang di Parlimen Oktober ini.

Beliau berkata undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.

Sehari sebelum itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menurut MCMC, langkah itu akan dikuatkuasakan 1 Jan depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal pada 1 Ogos ini.