Input your search keywords and press Enter.

Kematian Baby Syifa Akibat Kecuaian Pengasuh

M Update, 31/07/2024 – Sesi inkues kes kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan kematian kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri adalah disebabkan kecuaian pengasuh.

Koroner, Datin Surita Budin dalam keputusannya berkata, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh yang juga saksi inkues berkenaan.

“Saya buat dapatan dan keputusan bahawa kematian Asyifaa disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian sisi hujung kain buaian.

“Berdasarkan keterangan saksi secara keseluruhan mahkamah memutuskan kematian si mati adalah bukan disebabkan kemalangan atau kecelakaan tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung dalam buaian.

“Akibat tindakan dan tinggalan pengasuh pusat jagaan, Khairulnisa Ahmad Damunhuri yang meninggalkannya dalam buaian tanpa pengawasan berpatutan dan sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah dan akhirnya menyebabkan kematian si mati dan terjumlah dalam satu perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam pendengaran keputusan inkues di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini.

Dalam dapatannya, Koroner turut memaklumkan, seramai 28 saksi telah dipanggil mahkamah bagi memberikan keterangan.

Inkues berkenaan berjalan selama 12 hari sejak difailkan pada 8 April 2022 dan bermula pada 22 September 2022.

Untuk rekod, kanak-kanak berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac tahun sama, bapanya, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.