Input your search keywords and press Enter.

Pelarasan Gaji Penjawat Awam: LHDN Jangka Pembayar Cukai Bertambah

M Update, 19/08/2024 – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjangkakan pembayar cukai dalam kalangan penjawat awam meningkat susulan pengumuman pelarasan gaji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, potongan cukai itu tertakluk kepada pendapatan yang boleh dicukai.

“Jika gaji yang diterima melebihi nilai ambang yang ditetapkan, sudah tentu ada kesan cukai daripada pendapatan atau kenaikan yang diterima. Tentunya ia juga bergantung kepada pelepasan yang dituntut dan sebagainya,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Ops Metro 2024 di sini pada Isnin.

Mengenai Ops Metro, Abu Tariq berkata, ia merupakan kerjasama antara LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bertujuan untuk meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pembayar cukai secara menyeluruh dari segi pendaftaran fail cukai pendapatan, penghantaran borang, pelaporan dan bayaran.

Beliau berkata, ia juga merupakan strategi jangka pendek dalam memperluaskan asas hasil cukai, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan pengurusan yang akan menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara.

“Saya dimaklumkan bahawa dalam operasi kali ini, JKDM akan memberi tumpuan kepada aktiviti lawatan banci bisnes yang menyasarkan pembesaran asas percukaian, termasuk mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang berpotensi untuk didaftarkan.

“Bagi pihak LHDN, tumpuan adalah mengenal pasti pembayar cukai yang menjalankan ekonomi tunai dan warga asing yang menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata Ops Metro melibatkan lima aktiviti operasi percukaian utama iaitu audit, siasatan, pungutan, lawatan banci bisnes dan guaman yang akan dijalankan secara serentak di sekitar Lembah Klang.

Kira-kira 1,000 anggota daripada LHDN dan JKDM terlibat dalam Ops Metro yang diadakan empat hari bermula hari ini. – Bernama