Input your search keywords and press Enter.

‘Abang Bas’ Didakwa Bawah Akta Seksual Kanak-Kanak

Foto: Harian Metro

M Update, 10/09/2024 – Pemandu bas yang sebelum ini tular memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.

Tertuduh yang berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor sambil dilihat hanya menunduk serta mengesat air matanya ketika rayuan jaminan dibuat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak suadaranya bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan Amang Seksual Bukan Fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM50,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan alasan kes ini mendapat perhatian seluruh negara hingga memberikan pelbagai gambaran serta gesaan supaya tindakan diambil terhadap tertuduh.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa ataupun saksi pendakwaan sepanjang prosiding ini.

Kes disebut semula pada 10 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Sebelum ini tular di TikTok, seorang pemandu bas sekolah menggelar penumpang bas dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.