Input your search keywords and press Enter.

Program Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 Bulan Depan

Foto: Majlis Bukhari Malaysia

M Update, 28/10/2024 – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Program Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 dari 10 hingga 21 November depan di Masjid Putra, Putrajaya.

Program itu bakal menghimpunkan ulama serta ilmuwan tersohor dari dalam dan luar negara bagi menyampaikan syarahan serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap hadis-hadis sahih Al-Bukhari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia adalah antara usaha kerajaan untuk menjunjung tinggi syiar agama Islam dan memperkukuh penghayatan ilmu dalam masyarakat.

“Program ini juga akan menjadi platform untuk menyuburkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, selari dengan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan kemajuan berteraskan nilai-nilai Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sekali gus mempelawa semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyertai majlis berkenaan.

“Ini adalah peluang untuk menyelami khazanah ilmu yang agung, meraih hikmah tidak ternilai dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan syiar Islam di negara ini,” katanya.

Program itu dianjurkan oleh agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah, Pertubuhan ISLAMI, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).