Input your search keywords and press Enter.

Latihan Percubaan PLKN 3.0 Bermula Jan 2025

Foto Hiasan

M Update, 18/11/2024 – Kementerian Pertahanan akan melaksanakan Latihan Percubaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 membabitkan 200 pelatih lelaki secara sukarela yang berlangsung selama 14 hari bermula 12 Jan depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Latihan bertempat di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dengan permohonan boleh dilakukan di laman sesawang Kementerian Pertahanan, www.mod.gov.my sehingga 23 Nov ini.

PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan format baharu bermula Jun atau Julai 2025 dengan terbahagi kepada Fasa Pra PLKN melibatkan pelajar tingkatan empat yang akan dilaksanakan di sekolah ketika kegiatan kokurikulum dan Fasa PLKN Asas melibatkan remaja 17 tahun dan ke atas.

Fasa PLKN Asas yang menerapkan 30 peratus modul asas kenegaraan dan 70 peratus latihan ketenteraan, dijangka dilaksanakan bermula April 2026 di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam dan beberapa politeknik terpilih seluruh negara.