Input your search keywords and press Enter.

Penumpang Dilarang Guna Bagasi Skuter Di Apron Lapangan Terbang – CAAM

Foto Hiasan

M Update, 19/11/2024 – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan arahan keselamatan yang melarang penggunaan bagasi pintar atau ‘skuter’ sebagai mod pengangkutan dalam kawasan apron lapangan terbang.

Walaupun bagasi pintar yang boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang namun penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, kawasan itu terdapat jentera berat, pesawat, kenderaan perkhidmatan darat dan petugas sekali gus memerlukan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dan kerosakan peralatan.

“Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan lapangan terbang adalah penting untuk melarang sepenuhnya penggunaan bagasi pintar di kawasan larangan, menetapkan had laju di zon dibenarkan, dan mendidik penumpang dan petugas tentang amalan penggunaan yang selamat,” katanya.

Sehubungan itu, Norazman berkata, penggunaan bagasi pintar itu tidak dibenarkan digunakan melebihi kawasan tertentu seperti ruang terminal dan zon menunggu selain papan tanda larangan perlu dipasang untuk memaklumkan para pengguna.

Beliau berkata, bagasi pintar yang dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.

Apron lapangan terbang merujuk kawasan terbuka di lapangan terbang terletak berhampiran terminal penumpang dan landasan di mana pesawat diparkir, diselenggara dan disiapkan sebelum berlepas atau selepas mendarat.

Fungsi utama lain apron lapangan terbang termasuk sebagai kawasan pengendalian kargo, bagasi dan bekalan lain dipindahkan antara pesawat serta terminal, selain bagi penyelenggaraan pesawat dan pengisian bahan bakar.

Penyedia perkhidmatan pengendalian darat perlu memastikan semua petugas mengetahui prosedur yang betul untuk memuatkan, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutamanya jika ia mengandungi bateri litium atau komponen elektrik lain yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan,” katanya.

Petugas di lapangan juga perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar yang boleh ditunggang dan melaksanakan protokol keselamatan untuk mengendalikannya termasuk melaporkan segera sebarang penggunaan di kawasan apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.

Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang juga dinasihatkan untuk memaklumkan memasukkan arahan keselamatan itu menerusi pengumuman prapenerbangan termasuk pada tiket. – Bernama