M Update, 27/11/2024 – Mereka yang berada di kawasan berisiko banjir dingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga meminta orang ramai tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa terutama dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.
Amaran hujan berterusan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan keadaan cuaca yang berpotensi membawa risiko lebih besar terutamanya di kawasan yang dinyatakan dalam kategori bahaya, buruk dan waspada.
Hujan lebat dijangka berlarutan hingga 29 Nov dan ini memerlukan kita semua lebih bersedia serta berwaspada,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar mangsa yang terjejas banjir terus tabah menghadapi ujian dan segala urusan mereka dipermudah.
Orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia atau melalui aplikasi myCuaca bagi perkembangan terkini dan maklumat sahih tentang keadaan cuaca.