M update, 11/12/2024 – Tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan dan membekukan jenazah bayi selama dua minggu hanya kerana pesakit tidak mampu membayar kos rawatan disifatkan sebagai suatu penganiayaan yang menyalahi hukum syarak.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, membekukan jenazah bayi selama dua minggu seperti dilaporkan adalah tidak wajar kerana menyebabkan kelewatan pengebumian jenazah seorang Muslim yang sepatutnya disegerakan jika tiada sebarang keuzuran.
“Tindakan penahanan disebabkan menunggu si bapa untuk menyelesaikan kos bersalin ibunya bukanlah suatu keuzuran syarie (seperti kes pembunuhan, kemalangan dan sebagainya yang perlu dibedah siasat) kerana tuntutan kos itu boleh diselesaikan dengan cara lain.
“Dalam hal ini, ia menjadi satu penganiayaan fizikal yang menyalahi syarak yang tidak wajar dibiarkan berulang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata ada beberapa perkara berkaitan hukum syarak yang perlu dipertegaskan berhubung perbuatan menahan jenazah bayi berkenaan.
Menurutnya, jika bayi yang dilahirkan sudah berusia enam bulan dan ke atas, maka jenazahnya wajib dilakukan seperti jenazah orang dewasa iaitu dimandikan dan dikafankan, solat jenazah dan dikebumikan.
“Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Segerakanlah (uruskan) dengan jenazah. Sekiranya dia adalah jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu. (HR Bukhari dan Muslim).
“Jadi, jenazah bayi yang mati itu sudah melebihi usia enam bulan wajib disegerakan melainkan terdapat keuzuran seperti menunggu kedatangan wali (bapa, ibu atau penjaga yang sah) dalam jarak masa singkat yang mana dipercayai badan jenazah masih elok dan tidak berlaku perubahan (membusuk dan seumpamanya),” katanya.
Bagaimanapun katanya, ia boleh ditangguhkan jika terdapat keperluan (maslahah) yang kritikal seperti wujudnya keraguan tentang punca kematian atau tujuan bedah siasat dalam kes-kes tertentu seperti pembunuhan, kemalangan dan sebagainya.
“Menurut Imam al-Syirbini turut menyatakan hukum yang sama dalam kitabnya Mughniy al-Muhtaj : Tidak boleh ditunda solat jenazah kerana menunggu pertambahan jumlah orang solat berdasarkan hadis sahih berbunyi : “Segeralah pengurusan jenazah. Namun tidak mengapa menunggu wali dari tempat yang dekat selama tidak dikhuatirkan jasad mayat itu berubah kerana menyegerakan penguburan merupakan hak mayat, sedangkan solat tidak hilang dengan sebab penguburan,” katanya.
Sementara itu, berhubung dakwaan menghina fizikal bayi itu katanya, seorang Muslim perlu berakhlak Islam dengan hendaklah menjaga lidah dan tangan daripada menyakiti orang lain.
BH semalam melaporkan tular di media sosial seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna dan didakwa dihina oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta di Klang.
Menurut satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur.
Jenazah itu juga ditahan pihak hospital kerana ibu bapanya gagal menjelaskan jelaskan kos rawatan dianggarkan kira-kira RM3,600. – BH