Input your search keywords and press Enter.

Arwah Zayn Rayyan Tak Pernah Diabai, Diberi Perhatian Penuh

M Update, 07/02/2025 – Guru pendidikan khas kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, bahawa Ismanira Abdul Manaf, ibu kanak-kanak autistik itu tidak pernah mengabaikan, memberi perhatian penuh dan menjaga kesejahteraan anak sulungnya itu.

Saksi pendakwaan kesembilan, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, berkata, sepanjang Zayn Rayyan bersekolah dari Mac hingga 5 Disember 2023, kanak-kanak itu sentiasa berpakaian lengkap, membawa bekal makanan dan hadir ke sekolah dalam keadaan gembira.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira, guru itu memaklumkan bahawa berdasarkan pengamatan beliau, Zayn Rayyan tidak pernah memberi gambaran dia diabaikan.

Haresh: Cikgu setuju kalau saya cadangkan ibu Zayn tanpa gagal sediakan makanan untuk dia pada setiap hari?

Haresh: Pernah juga terdapat hari di mana Zayn tidak ingin contohnya ayam goreng dan sekolah akan panggil ibu (Ismanira), ibu akan sediakan bekal lain untuk Zayn makan?

Siti Aminah: Betul, ada.

Haresh: Setuju kalau saya cadangkan setiap kali dia hadir ke sekolah, dia lengkap dengan pakaian, lengkap beg, bekal (makanan) dia dan dia seronok ke sekolah?

Siti Aminah: Betul, setuju.

Haresh: Dan tak pernah sekali pun seolah diabaikan oleh keluarga?

Siti Aminah: Betul.

Saksi itu berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari kelima prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan.

Menurut guru itu, Ismanira juga amat mementingkan keselamatan Zayn Rayyan apabila memakaikan topi keledar untuk anaknya itu biarpun jarak sekolah ke rumah keluarga di Apartment Idaman, Damansara Damai hanya sekitar dua kilometer.

Haresh: Dia (Ismanira) juga mengambil berat terhadap keselamatan Zayn apabila naik motor dia melengkapkan arwah dengan topi keledar?

Siti Aminah: Ya.

Haresh: Berapa jauh antara sekolah dengan rumah arwah?

Siti Aminah: Lebih kurang dua kilometer.

Haresh: Walaupun dekat, banyak daripada kita (yang biarkan) anak tak pakai helmet (topi keledar), tapi dia pastikan keselamatan anak dia?

Siti Aminah: Betul.

Haresh: Adakah cikgu tahu bahawa ibu arwah membawa arwah ke hospital regular (kerap) bagi tujuan pemeriksaan kesihatan?

Siti Aminah: Ada, tahu.

Haresh: Ini juga menunjukkan bahawa ibunya beri perhatian penuh untuk kesihatan dan well-being (kesejahteraan) arwah?

Siti Aminah: Betul.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung pada petang ini. – Harian Metro