
M Update, 20/03/2025 – Terma dan syarat yang dikemukakan syarikat Ocean Infinity (United Kingdom ) bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi dipersetujui Kabinet.
Dengan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan akan mewakili kerajaan untuk menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat Ocean Infinity.
Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee,”.
Berdasarkan prinsip tersebut, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat itu sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui. Sekiranya bangkai MH370 ditemui, Fi sejumlah AS$70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity.
Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup kepada keluarga waris penumpang pesawat MH370.
MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang tanpa jejak sejak 11 tahun lalu.
Kapal terbang berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi 8 Mac 2014 sepatutnya tiba di Beijing, China jam 6.30 pagi waktu tempatan namun hilang tanpa dapat dijejaki sehingga kini.
Ocean Infinity memulakan pencarian rasmi di dasar Lautan Hindi yang dipercayai menjadi lokasi pesawat pada 22 Januari 2018 dan menamatkan pencarian pada 29 Mei tahun sama.
Walaupun usaha itu melibatkan kawasan carian yang lebih luas dan teknologi terkini, ia tetap tidak menemukan bangkai pesawat. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew FookÂ