
M Update, 17/06/2025 – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam melancarkan Operasi Pematuhan Cukai siri kelapan, dikenali sebagai OP METRO 3.0, bagi memperkukuh budaya pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai menerusi pendekatan yang lebih strategik dan berfokus.
Operasi dari 16 hingga 20 Jun ini dilaksanakan serentak di sekitar Lembah Klang dengan pembabitan pelbagai jabatan di bawah LHDN, termasuk Sektor Pematuhan Cukai, Sektor Siasatan, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Perisikan dan Profiling, Jabatan Digital serta Cawangan Pematuhan Strategik.
OP METRO 3.0 adalah kesinambungan kepada OP METRO 2.0 yang dilaksanakan pada Februari lalu. Operasi kali ini melibatkan seramai 590 pegawai terbabit dengan 682 kes dikenal pasti untuk tindakan.
Operasi ini turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai usaha bersama memantau tahap pematuhan korporat, menandakan pembabitan kedua SSM selepas OP Rejang di Sarawak pada April lalu.
Sektor sasaran bagi OP METRO 3.0 merangkumi industri pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perundingan dan pemborongan.
Pelaksanaan operasi tertumpu kepada empat aktiviti utama iaitu audit, kutipan hasil, verifikasi pembayar cukai dan pematuhan strategik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata misi utama LHDN adalah menjadikan pematuhan cukai sebagai budaya dan bukan beban, manakala mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 (dalam negara) / +603-8911 1000 (luar negara), melalui HASiL Live Chat atau borang maklum balas di portal rasmi HASiL di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.
kampungbet toto slot