
M Update, 01/10/2025 – Inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) merekod hampir tiga juta pengguna dengan jualan melebihi RM91 juta dalam empat hari, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Setakat 6 petang semalam, kira-kira dua juta pengguna telah menikmati petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter yang dibuka sepenuhnya kepada warganegara Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pemilik bot menerima inisiatif BUDI95.
Beliau berkata pihaknya menerima maklum bahawa pemilik bot dengan enjin sangkut tidak mendapat subsidi. Dari segi dasar, kerajaan bersetuju untuk memberikan kelayakan dengan tahap kelayakan yang akan ditentukan. Perbincangan sedang dijalankan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dan data pemilik bot akan dimasukkan dalam sistem supaya mereka turut menerima kelayakan tersebut.
Selain itu, Amir Hamzah menjelaskan kelonggaran turut diberikan kepada mereka yang lesen memandu telah tamat tempoh kurang daripada tiga tahun.
Beliau berkata kerajaan masih menyalurkan BUDI95 dan menggalakkan orang ramai memperbaharui lesen kerana lesen yang sah penting ketika memandu.