
M Update, 4/1/2026 – Seorang pempengaruh Tiktok maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran TMG Mall Bandar Putra di sini pada awal pagi Sabtu.
Dalam nahas kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan, 21, beralamat di Tanah Putih Baru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, seorang lagi penunggang, Muhammad A’kid Rahman Salahudin, 20, dilaporkan cedera di bahagian tangan, siku dan paha.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua penunggang terbabit dalam perjalanan dari arah Tanjung Lumpur menuju ke Bandar Kuantan.
Ketika tiba di lolasi kejadian, semasa mangsa sedang bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang pelajar sebuah politeknik di sini dari arah belakang telah merempuhnya.
Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Athira Auni dikenali sering berkongsi ‘live’ di Tiktok menjadi penebar roti canai di warung ayahnya.