M-Update,15/5/2019, PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan berganjak dengan pendiriannya terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya menegaskan demikian berhubung kenyataan pelakon Hollywood, George Clooney yang dikatakan memberi amaran kepada Malaysia dan Indonesia berhubung pelaksanaan undang-undang anti-LGBT seperti Brunei.
“Kita kena berpegang kepada prinsip kita sebagai negara Islam yang berdaulat ,” katanya. Mac lalu, Clooney dilaporkan menggesa tindakan boikot terhadap sembilan hotel milik Sultan Brunei kerana membantah keputusan negara itu untuk melaksanakan hukuman sebat atau rejam hingga mati kepada golongan gay dan pesalah zina.
Pada 5 Mei lalu, Sultan Brunei melanjutkan moratorium ke atas hukuman mati untuk undang-undang melarang seks sejenis ekoran kritikan global termasuk dari kalangan selebriti seperti Clooney dan Elton John. Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia menyokong hukuman penalti rejam sampai mati di bawah undang-undang anti-LGBT, Marzuki berkata: “Tidak.”
“Kita akan berpendirian sebagai negara yang memegang prinsip Perlembagaan, Raja-Raja dan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara yang melanggar agama mesti kita tolak,” katanya. Marzuki turut meminta Clooney ‘menjaga tepi kain sendiri’. “Saya berpendapat, dia perlu tahu apa yang dikatakannya,” katanya.
Bercakap dalam rancangan bual bicara Amerika Syarikat (AS), The Ellen DeGeneres Show Jumaat lalu, Clooney membincangkan mengenai tindakan boikot itu serta tekanan ekonomi yang menyusul selepas pengumuman undang-undang baharu berkenaan dan tindakan pusing ‘U’ kerajaan Brunei.Namun begitu, kenyataan Clooney itu telah mengundang tindak balas dalam talian, dengan pengkiritik dan aktivis LGBT serantau menjelaskan perbezaan ketara antara Brunei dan negara-negara jirannya.
–BHarian