M Update, 24/04/2019 – Sekurang-kurangnya lapan terbunuh dalam tempoh dua hari rusuhan pasca pilihan raya di tengah ibu kota Indonesia di sini, sementara ratusan lain memerlukan rawatan, kata pentadbiran bandar ini semalam.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mendedahkan angka maut terbaharu itu ketika melawat pusat rusuhan pagi semalam selepas keganasan reda.
“Angka kematian terbaharu ialah lapan orang. Sehingga jam 11 pagi hari ini (Khamis), 737 orang menerima rawatan perubatan di hospital sekitar kawasan itu.
“Daripada jumlah itu, 79 mengalami kecederaan parah,” katanya seperti dilaporkan The Jakarta Post.
Anies berkata, individu berusia 20-an antara ramai yang dirawat di hospital dengan kumpulan terbesar menerima rawatan adalah 294 orang berusia 20-29 tahun diikuti 170 orang berusia bawah 19 tahun.
“Justeru jumlah golongan dewasa muda agak tinggi,” katanya namun enggan mendedahkan punca kematian di tengah siasatan polis.
Lewat Rabu lalu, jurucakap polis Jakarta, Komrad Kanan Argo Yuwono berkata, empat mangsa perusuh maut akibat ditikam.
Polis juga sedang meneliti kematian mangsa lain dan mendalamkan siasatan terhadap tiga rusuhan yang meletus di Jakarta Pusat dan Jakarta Barat.
Sementara itu menurut laporan Reuters, dua lelaki yang ditahan polis Indonesia semalam kerana merusuh minggu ini adalah sebahagian kumpulan yang berikrar taat setia dengan Daesh dan berhasrat melakukan tugas jihad atau perang suci.
Rusuhan dan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di ibu kota ini susulan keputusan pilihan raya rasmi yang mengesahkan kemenangan penyandang Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo terhadap pencabarnya, jeneral bersara Prabowo Subianto dalam pilihan raya 17 April lalu.
“Mereka berhasrat menjalankan jihad ketika bantahan 21 dan 22 Mei,” kata jurucakap polis nasional Muhammad Iqbal, mengatakan kedua-dua lelaki milik kumpulan digelar Garis. -Agensi/Reuters