Input your search keywords and press Enter.

37 Jam Terperangkap Dalam Perigi

M Update, 28/5/2019 – Seorang lelaki berumur 70 tahun dari Sitiawan, Perak dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 13 kaki ketika sedang bekerja di ladang kelapa sawit pada 23 Mei yang lalu.

Sepanjang terperangkap di dalam perigi itu selama 37 jam, lelaki itu terpaksa meminum air perigi yang kotor dan memakan katak hidup yang berada di dalam perigi itu untuk bertahan.

Bahagian permukaan perigi itu telah pun diliputi oleh rumput dan air kotor di dalam perigi itu berada pada paras dada lelaki itu. Hal ini menyebabkan lelaki itu sukar untuk keluar dengan sendiri daripada perigi itu.

Dilaporkan bahawa lelaki itu pergi ke ladang untuk menuai buah sawit seperti lazimnya yang dilakukan, tetapi dia terjatuh ke dalam perigi itu sekitar pukul 9 pagi pada hari itu. Disebabkan kemalangan itu, dia tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari seperti kebiasaannya. Bimbang dengan keadaan lelaki itu, isterinya pergi ke ladang untuk mencarinya tetapi tidak berjaya menemuinya.

Akhirnya, pada jam 9.40 malam pada 24 Mei, Pasukan Penyelamat telah berjaya menemui lelaki itu dalam keadaan yang lemah dan kelaparan kerana sudah terperangkap selama lebih kurang satu setengah hari.

Ketika ditemui, lelaki itu berada dalam keadaan sedar dan masih dapat bercakap dengan jelas. Lantas, lelaki itu diberikan sebotol air minuman, roti untuk dimakan dan diberi rawatan yang diperlukan sebelum dihantar ke Hospital Pantai Manjung.

Pasukan Penyelamat dihubungi oleh sanak-saudaranya pada jam 6 petang. Pasukan Penyelamat telah mencarinya sepanjang malam tetapi tidak berhasil sebelum mereka kembali semula ke ladang itu setelah isteri lelaki itu memberitahu bahawa mereka terlihat motosikalnya berada di kawasan ladang.

Sumber : www.erabaru.com.my

Leave a Reply