M Update, 13/6/2019 – “Terima kasih Datuk Lee Chong Wei..”
Itu kata-kata terakhir diungkapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menutup bicaranya pada sidang media khas pengumuman persaraan legenda badminton negara itu sebentar tadi.
“Datuk Lee Chong Wei adalah wira sejati kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun akan bersatu hati apabila melihat beliau beraksi di pentas antarabangsa,” kata Syed Saddiq.
Untuk kita mencari satu lagi figura atau idola seperti Chong Wei adalah sukar kerana ia adalah sekali dalam seumur hidup. Seluruh rakyat Malaysia dan saya sendiri sangat beruntung kerana mempunyai Chong Wei. Walaupun beliau pilih untuk bersara tetapi roh perjuangannya akan terus meresapi kita semua malah semangat juang tingginya juga nyata membakar semangat seluruh rakyat Malaysia bukan saja bagi sukan badminton.
“Kami akan bagi sokongan padu kepadanya kerana beliau adalah pejuang sejati,” katanya.
Dalam pada itu sebagai menghargai jasa Chong Wei selama 19 tahun untuk negara, Syed Saddiq turut mengumumkan pelantikan legenda berusia 37 tahun itu sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Selepas bercakap dengan Chong Wei kami juga memutuskan untuk melantiknya sebagai Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo atau Chef de Mission (CDM) kerana kami tidak menjumpai calon lebih baik daripadanya yang telah menjadi inspirasi kita semua selama ini,” katanya. – BH Online