M Update, 9/7/2019 – Pihak berkuasa India hari ini menunjukkan imej mengejutkan detik-detik akhir kumpulan pendaki antarabangsa yang dihanyutkan runtuhan salji ketika mereka cuba mendaki puncak Himalaya yang belum ditawan.
Klip video berdurasi 154 saat menunjukkan empat warga Britain, dua Amerika Syarikat dan seorang warga Australia bersama jurupandu India diikat bersama-sama sambil berjalan dengan berhati-hati tetapi serentak di sepanjang rabung sempit menuju ke puncak. Namun, skrin itu kemudiannya menjadi gelap. Secara tiba-tiba, kami terdengar bunyi bising yang kuat dan video itu terhenti dan gelap,” kata jurucakap Polis Sempadan Indo-Tibet (ITBP), Vivek Kumar Pandey.
Mereka menyeberangi rabung yang amat berbahaya. Berat badan mereka mencetuskan runtuhan salji,” katanya kepada AFP. Kamera itu yang dibawa oleh pendaki terakhir, ditemui terbenam dalam salji berhampiran tujuh mayat ditemui. Bagaimanapun, pendaki kelapan iaitu ketua pasukan British, Martin Moran dilaporkan masih hilang, menurut pihak berkuasa India.
Selain Moran, kumpulan pendaki warga Britain termasuk John McLaren, Rupert Whewell dan pensyarah University of York, Richard Payne; warga Amerika Syarikat iaitu Anthony Sudekum dan Ronald Beimel; warga Australia, Ruth McCance dan jurupandu bangsa India, Chetan Pandey. Rakaman itu membuatkan kami terpegun,” kata Timbalan Ketua Inspektor ITBP, A.P.S. Nambadia yang merancang operasi pencarian mayat.
Ia akan membantu kami untuk menganalisis masalah yang berlaku dalam misi mereka. GoPro terbukti bertindak seperti kotak hitam pesawat yang merakamkan imej saat-saat akhir pendaki,” katanya. – HM Online