M Update, 29/7/2019 – Tiga anak harimau Malaya yang dilahirkan di Zoo Negara pada 1 Mei lalu, secara rasmi dinamakan Wira, Hebat dan Melur oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Nama itu diumumkan sendiri oleh isteri Perdana Menteri ketika melancarkan Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 sempena Hari Harimau Sedunia semalam. Beliau yang juga penaung kempen Selamatkan Harimau Malaya, berkata nama Wira dan Hebat masing-masing diberikan kepada anak harimau jantan, manakala Melur (betina). Katanya, ketiga-tiga anak harimau itu kini berusia tiga bulan dan beliau berpeluang melawat harimau Malaya itu di Zoo Negara minggu lalu.
“Saya bayangkan saya boleh peluk tetapi apabila sudah berjumpa di depan mata, rupanya mereka besar dan agak garang. Yang betina itu juga ‘mengaum’ kepada saya. Bukan boleh peluk, kira-kira tiga kaki besarnya dan (usianya) baru tiga bulan. Syukur kita dapat anak harimau lahir di Zoo Negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Pada majlis itu, Dr Siti Hasmah menerima sumbangan lebih RM1.3 juta untuk Tabung Selamatkan Harimau Malaya daripada badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan sekolah termasuk Yayasan Al-Bukhary, Berjaya Corporation dan Ranhill Holdings. Dr Siti Hasmah turut merayu agar semua pihak memainkan peranan dalam usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya kepada sekurang-kurangnya 500 ekor.
Katanya, usaha bersama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, penderma dan masyarakat dipercayai dapat melonjakkan bilangan spesies Harimau Malaya. Sebab ketamakan diri, kita kemungkinan tidak akan dapat melihat haiwan ciptaan Allah ini, sebab mereka sudah pupus. Sekali pupus, ia tidak akan ada lagi. Spesies ini ada di Semenanjung saja dan kalau kita tidak bersama-sama agensi lain bertindak, ia akan pupus. Kelak nanti hanya lambang jata dan pada kemeja T sahaja,” katanya.
Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau.