M Update, 30/08/2019 – Seorang wanita dituduh membunuh bayinya yang baru dilahirkan selepas mencampak kanak-kanak itu keluar pagar dan jatuh di atas beranda belakang rumah jirannya.
Daily Mail melaporkan, Camille Wasinger-Konrad, 23, dilaporkan melahirkan seorang bayi perempuan di dalam bilik tidurnya pada awal pagi 2 Januari tahun lalu, di Highland Ranch.
Pendakwa raya berkata, Camille menutup mulut bayi itu yang menangis dengan tangannya sebelum membawanya ke belakang rumah lalu melemparkannya ke atas sebuah pagar setinggi 2.43 meter.
Polis menerima panggilan kecemasan dari Jeanette Barich iaitu jiran Camille menemui mayat bayi perempuan di atas lantai beranda di belakang rumahnya.
Timbalan Peguam Daerah, Valerie Brewster memberitahu juri, bahawa bayi itu ditinggalkan di halaman belakang jirannya selama 15 jam.
Polis kemudiannya berjaya menemui tirai mandi dipenuhi darah di dalam tong sampah di hadapan rumah yang disewa Camille selepas melakukan siasatan di kawasan itu.
Semasa ditahan, Camille memberitahu polis dia tidak menyangka dirinya hamil sehingga melahirkan bayi perempuan pada jam 6 pagi (waktu tempatan).
“Saya hanya mahu membuangnya,” katanya dengan alasan tidak mahu menghadapi masalah untuk membela anak itu.
Camille didapati bersalah di atas pembunuhan darjah pertama dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.