M Update, 17/09/2019 – Seorang remaja terkejut apabila menemui spesies ikan pelik bermata besar kelihatan seperti makhluk asing yang ditangkap ketika memancing di luar pantai Andoya, Norway.
Daily Mail melaporkan, Oscar Lundahl, 19, ingin menangkap ikan halibut biru sebelum mata kailnya tersangkut pada ikan misteri itu ketika memancing pada kedalaman kira-kira 792 meter.
Menurut Lundahl, dia dapat merasakan tangkapan itu terlalu besar dan mengambil masa selama 30 minit untuk menarik ikan terbabit.
“Saya tidak pernah melihat ikan seperti ini. Ia amat pelik dan kelihatan seperti ikan dinosaur. Rakan saya mengenali spesies ikan ini,” katanya.
Berdasarkan maklumat Nordic Sea Angling, ikan itu dikenali sebagai Ratfish iaitu mempunyai kaitan dengan spesies jerung yang pernah wujud 300 juta tahun lalu.
Ratfish amat jarang ditemui kerana tinggal di dasar laut yang dalam dan matanya yang besar membolehkan ia melihat dalam keadaan gelap.
Ikan itu bagaimanapun mati akibat tidak tahan dengan tekanan udara ketika dinaikkan ke permukaan air.
Katanya, dia membawa pulang hasil tangkapan itu ke rumah lalu menggorengnya.
“Walaupun ia kelihatan hodoh namun rasanya sedap. Ia seperti ikan kod tetapi lebih sedap,” katanya.