M Update, 23/09/2019 – Impian seorang lelaki dari Amerika Syarikat menjadikan saat melamar kekasih sebagai detik istimewa dengan melakukannya di dalam air bertukar tragedi apabila dia lemas sebaik selesai membuat lamaran itu.
Fox News melaporkan, Steven Weber Jr dari Louisiana, lemas selepas melamar teman wanitanya, Kenesha Antoine, ketika mereka bercuti di Tanzania.
Kanesha, seorang peguam, memuat naik kejadian menyedihkan itu melalui Facebook Jumaat lalu, berkongsi beberapa gambar dan video saat-saat akhir mereka bersama.
Menurut laporan Daily Mail, berdasarkan video itu, Steven dilihat menyelam dan memegang beg plastik berzip mengandungi nota lamaran bertulis tangan.
“Saya tidak dapat menahan nafas cukup lama untuk memberitahu saya sayang semuanya mengenai awak. Setiap hari berlalu, saya lebih sayangkan awak,” tulis nota itu.
Di belakang nota berkenaan, Steven meminta Kanesha mengahwininya dan dia kemudian mengeluarkan sebentuk cincin.
Steven yang memakai topeng snorkel dan sirip dilihat kembali berenang ke permukaan tetapi tidak berjaya.
Punca kematiannya masih belum dapat dipastikan dan kematiannya itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Negara Amerika.