M Update, 5/11/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati semua calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menghadapi cabaran peperiksaan itu dengan tenang.
Menerusi klip video yang dimuat naik menerusi akaun media sosial rasminya, Perdana Menteri turut mendoakan semua calon lulus dengan keputusan yang baik.
“Kepada penuntut yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM, saya berharap mereka menghadapi cabaran ini dengan tenang dan membuat persediaan yang cukup untuk mendapat kelulusan sebaik mungkin.
“Untuk peperiksaan, kita perlu ulang balik segala pelajaran yang kita dapat sepanjang tahun dan ulang berkali-kali bermakna kita tidak akan lupa dengan isi kandungan jawapan yang diperlukan.
“Saya berdoa semua penuntut akan lulus dengan baik dan berharap mereka akan gembira selepas (keputusan) peperiksaan diumumkan,” katanya.
SPM fasa dua bermula hari ini hingga 28 November manakala kertas STPM bermula semalam hingga 13 November. – BH Online