M Update, 18/11/2019 – Berang isteri berjaya mendapatkan perintah mahkamah melarangnya mendekati wanita itu, seorang lelaki bertindak kejam menembak mati isterinya serta tiga anak mereka manakala seorang lagi bertarung nyawa di hospital.
Lelaki berkenaan, Jose Valdivia, 31, kemudian membunuh diri dengan menembak dirinya.
Menurut polis California, kejadian berlaku tidak sampai 24 jam selepas mahkamah meluluskan permohonan Sabrina Rosario, 29, melarang suaminya itu mendekatinya.
Menurut laporan Daily Mail, Sabrina dan anaknya, Enzie, 3, maut di tempat kejadian iaitu di rumah mereka di Paradise Hills manakala dua lagi anaknya, Zuriel, 5 dan Zeth, 11, meninggal dunia di hospital.
Seorang lagi anak pasangan itu, Ezekiel, 9, dilaporkan kritikal selepas menjalani pembedahan di hospital.
Fox 5 melaporkan, polis menerima panggilan pada jam 6.49 pagi (waktu tempatan) tetapi tiada siapa bercakap namun terdengar perbalahan.
Panggilan kedua dibuat jiran melaporkan berlaku pergaduhan di rumah pasangan itu sebelum bunyi tembakan.
Polis yang tiba segera memecah pintu selepas ternampak melalui tingkap seorang kanak-kanak terbaring berlumuran darah sebelum menemui mayat mangsa yang lain.
Leftenan Matt Dobbs dari Jabatan Polis San Diego berkata, lelaki itu datang ke rumah isterinya pada pagi hari kejadian dan berlaku pertengkaran.
“Dia mengeluarkan pistol lalu menembak isteri dan anak-anaknya sebelum menembak dirinya,” katanya.
NBC7 melaporkan, kakak mangsa, Jocelyn berkata, mereka adalah pasangan kekasih sejak sekolah tinggi tetapi Sabrina sudah memfailkan perceraian.
Menurutnya, Sabrina mendakwa Jose sering mengekori dan mengintipnya malah pernah menghantar gambar pistol.