M Update, 27/11/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengagumi penguasaan teknologi Korea Selatan yang sekali gus mampu membantu negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.
Jelasnya, negara itu juga sedia memindahkan teknologi terutama dalam sektor pengangkutan keretapi negara.
“Korea Selatan berjaya menguasai teknologi. Teknologi mereka sangat mengagumkan. Kami telah melawat ke kilang keretapi mereka. Hari ini saya dapat lihat keretapi mereka termasuk Maglev Train mereka dan apabila kami melawat Pameran Pemula Niaga, video dari televisyen betul-betul nampak macam orang,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut menggariskan tiga hasil rumusan daripada sidang kemuncak berkenaan. Ia termasuk penilaian terhadap hubungan ASEAN dan Korea Selatan, kesalinghubungan antara kedua-dua pihak dan penyelesaian melibatkan konflik Semenanjung Korea.
“Kami telah melihat kepada pertama kami telah selesai dengan (kerjasama rakan dialog) 30 tahun lalu dan kami mahu ia diteruskan untuk 30 tahun akan datang. Kedua, ialah melibatkan kesalinghubungan. Ketiga, kami juga membincangkan situasi melibatkan Korea Selatan dan Korea Utara,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri juga berkata hasil Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 memberi faedah kepada Malaysia.
“Kita melihat kepada kemungkinan untuk bekerjasama dengan Korea Selatan dalam sektor pertanian umpamanya. Korea Selatan menanam strawberi dalam rumah. Hasilnya, strawberi itu juga manis,” tambahnya.
Katanya, Malaysia juga berminat untuk mempelajari teknologi Korea Selatan dalam bidang pertanian. Perdana Menteri juga melihat rangkaian perhubungan ketika ini bukan hanya bergantung kepada laluan laut tetapi juga kepada pengangkutan udara.
Dasar Selatan Baharu yang dilaksanakan Korea Selatan dan Dasar Pandang Ke Timur juga ada perbezaan dan manfaat masing-masing.
“Kita ada Dasar Pandang ke Timur. Dasar ini adalah untuk kita belajar daripada mereka. Namun bagi Dasar Selatan Baharu adalah untuk kita melihat kepada bentuk kerjasama dengan ASEAN dalam memastikan pemindahan teknologi, pelaburan, pendidikan dan mereka memberikan kita perjanjian,” ujar Perdana Menteri.
Malah, Korea Selatan sentiasa dilihat berada di hadapan dan negara itu sentiasa bersedia untuk membantu negara ASEAN. – Astro Awani