M Update, 29/11/2019 – Israel hari ini merobohkan rumah empat penduduk Palestin di Tebing Barat yang dituduh melakukan serangan maut, mencetuskan pertembungan dengan penunjuk perasaan yang membaling batu.
Tentera Zionis berkata, kediaman di perkampungan Beit Kahil berhampiran bandar ini, di jajahan Tebing Barat didiami lelaki yang ‘menganggotai skuad menjalankan serangan tikaman’, menuduh mereka membunuh seorang askar Israel Ogos lalu.
Pertembungan meletus ketika kerja-kerja meroboh dilakukan, kata Zionis dengan penduduk Palestin membaling batu dan tayar dibakar ke arah askar.
“Sebagai balasan, tentera menggunakan penyuraian rusuhan,” katanya.
Penduduk hanya mampu memandang timbunan konkrit selepas jentolak merobohkan sebuah rumah, kata jurugambar AFP.
Selepas perobohan, seorang penduduk Palestin maut dalam nahas kereta di persimpangan berhampiran bandar ini.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa berkata, kenderaan mangsa dilanggar jentolak Zionis, namun tentera berkata, lelaki terbabit melanggar kenderaan tentera yang tidak bergerak.
Wafa menamakan lelaki yang maut sebagai Mohammed al-Nawajaa, mengatakan anak lelaki mangsa turut cedera dalam insiden itu. -AFP