M Update, 29/11/2019 – Paras air Sungai Golok di sini, menunjukkan peningkatan melebihi paras berjaga-jaga, susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Sesawang infobanjir.water.gov.my melaporkan, sehingga jam 9.15 pagi ini, paras air sungai terbabit mencecah 7.46 meter (M), semakin hampir dengan paras amaran iaitu 8M.
Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata paras air Sungak Golok di Tanah Merah, juga meningkat dengan bacaan 22.16M dan hampir ke paras amaran 22.50M. Katanya, walaupun hujan sederhana lebat di sekitar Rantau Panjang, tetapi paras air sungai itu meningkat susulan hujan lebat di di bahagian hulu khususnya sekitar Jenob dan Bukit Bunga, Tanah Merah serta Jeli.
“Sungai Golok di Rantau Panjang, paras air berjaga-jaga ialah 7M, manakala paras amaran 8M dan bahaya 9M. Biasanya jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4M, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat yang lebih selamat.
“Setakat ini air sungai menunjukkan peningkatan sejak awal pagi tadi dan pihak bomba sentiasa bersedia selain terus merujuk kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti paras semasa air sungai. Rondaan serta pemantauan juga dilakukan lebih kerap bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Imran berkata, pihak bomba sudah bersedia dengan kelengkapan logistik dan keanggotaan bagi menghadapi fenomena Monsun Timur Laut itu. Namun saya menasihatkan penduduk untuk sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal mengemas dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapi banjir terutama di kawasan rendah.
Keadaan cuaca yang mendung dan hujan lebat tanpa henti boleh meningkatkan lagi paras air sungai menyebabkan ia boleh melimpah dan banjir pada bila-bila masa,” katanya. – BH Online