M Update, 13/1/2019 – Seorang kanak-kanak perempuan lima tahun parah ditikam jirannya dipercayai akibat pengaruh dadah dalam kejadian di Kampung Keda Che Bema kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Mangsa ketika itu berada di ruang tamu bersama ibu dan kakak sulung didatangi suspek yang mengamuk dan terus menikam mangsa yang sedang berbaring. Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek meluru masuk ke rumah dan terus menikam kanak-kanak itu dengan sebilah pisau tanpa sebab dan kena di bahagian perut sebelah kiri mangsa.
Menurutnya, suspek telah ditahan dan sebilah pisau hulu dililit kain warna merah panjang lebih kurang 30 sentimeter yang dilempar di kawasan semak hadapan rumahnya telah dirampas. Hasil siasatan mendapati, suspek telah menikam mangsa dengan sekali tikaman dan kemudian melarikan diri bersama pisau melalui pintu dapur rumah.
Pisau terlibat dipercayai adalah milik suspek dan telah dibuang di kawasan semak berdekatan rumah suspek, semasa dirampas masih ada kesan darah. Suspek dikesan memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang tidak berkunci dan terus melarikan diri ke dalam rumahnya sejurus selepas kejadian kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Difahamkan, malam sebelum kejadian suspek telah mengamuk di rumahnya akibat pengaruh dadah. Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani. Pihak hospital memaklumkan mangsa mengalami kecederaan serius di mana kedalaman tikaman sedalam lebih kurang 3 hingga 4 sentimeter. Keadaan mangsa adalah stabil dan boleh bercakap tetapi masih lemah,”katanya.
Menurut Adzli, motif atau punca kejadian masih disiasat. Kes disiasat bawah Seksyen 326 kanun keseksaan. – BH Online