Warning: filesize(): stat failed for /home/mupdatec/public_html/wp-content/cache/db/options/b15/c50/b15c50aaedc6b3eb8c860da8cdb11b88.php in /home/mupdatec/public_html/wp-content/plugins/w3-total-cache/Cache_File.php on line 157
Malaysia Di Tangga Ke-16 Negara Paling Aman Di Dunia - M-Update

Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Di Tangga Ke-16 Negara Paling Aman Di Dunia

M Update, 14/1/2020 – Malaysia kini berada di tangga ke-16 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata laporan GPI itu turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara ketiga paling aman di Asia Tenggara selepas Jepun dan Singapura.

“Laporan GPI ini adalah penting dan perlu diketengahkan kerana ia akan menarik perhatian terutama pelabur dan pelancong asing untuk datang.

“Sekarang, kita berada di kedudukan yang baik berbanding tangga ke-26 pada 2018 dan ia (sesuatu) yang boleh dibanggakan. Kita berharap ia akan berterusan seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Pertahanan Sepanjang 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1, Isnin malam.

Pada masa sama, Mohamad berkata kementerian itu juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan soal keselamatan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ancaman anasir luar dan pencerobohan termasuk penculikan yang kerap berlaku di sana.

Menurutnya, keselamatan di Sabah dan Sarawak adalah terkawal dengan pelaksanaan pengoperasian daripada ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kami sentiasa bertanya kedudukan keselamatan selain bagaimana ia perlu diperlengkapkan dengan peralatan terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau bagi memastikan kepentingan keselamatan di Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin.

“Malah, ATM juga masih mengekalkan komitmen dan peranannya bersama ESSCOM dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan Indonesia dan Filipina turut diperkukuh bagi membanteras permasalahan itu.

“Bahkan, hubungan erat itu menyebabkan berlaku sedikit kekurangan jenayah di kawasan yang dianggap ´panas´ selama ini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply