M Update, 23/01/2020 – Sekumpulan eksekutif sebuah syarikat di China ‘menghukum’ diri sendiri dengan merangkak di hadapan kakitangan selepas gagal mencapai sasaran jualan ditetapkan.
Daily Mail melaporkan, mereka yang terdiri daripada pengurus dan pengarah syarikat berbuat demikian pada majlis makan malam bersama kakitangan yang diadakan di restoran yang terletak di Jilin, timur China.
Seorang kakitangan syarikat berkenaan berkata, mereka berbuat demikian atas kerelaan sendiri.
“Ada di antara mereka yang merangkak dan membuat tiga pusingan di lokasi berkenaan selepas gagal mencapai sasaran jualan yang ditetapkan pada pertengahan tahun,” katanya.
Pada majlis sama, terdapat beberapa kakitangan memegang bendera selain suara yang menyebut “saya bersumpah, saya bertanggungjawab” dilaungkan dari pembesar suara sebagai hukuman kepada kumpulan itu.
Hukuman kejam seumpama itu bukan perkara pelik di China, namun ada ketikanya ia digunakan sebagai cara mendapatkan publisiti.