M Update, 14/5/2020 – Saringan COVID-19 menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memberi keutamaan kepada pekerja asing, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tumpuan itu akan diberi kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan industri kawalan yang beroperasi di Selangor serta Kuala Lumpur sahaja. Beliau berkata, saringan hanya dibuat berdasarkan temu janji diatur syarikat terbabit dengan penyedia perkhidmatan PSP PERKESO yang dilantik, dengan ia dijalankan di tempat kerja atau premis penyedia perkhidmatan.
“Selain itu, semua janji temu yang sudah dibuat dengan penyedia perkhidmatan PSP PERKESO adalah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak. Perubahan ini adalah selaras arahan terkini kerajaan yang memberi fokus saringan COVID-19 terhadap pekerja asing dalam kedua-dua sektor itu.
“Ia juga selaras panduan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan saringan secara bersasar kepada golongan berisiko,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PSP adalah untuk majikan dan pekerja berdaftar dengan PERKESO bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Sebelum ini, media melaporkan, PSP PERKESO ke atas pekerja termasuk pekerja asing di syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula 27 April lalu.
Ujian saringan COVID-19 disediakan secara percuma kepada pekerja bagi majikan yang berdaftar dengan PERKESO. Saringan akan ditumpukan kepada pekerja yang perlu bekerja di zon berisiko jangkitan wabak itu.
Sebarang pertanyaan, boleh hubungi talian 1300228000/0342645555/0380915100 atau emel ke perkeso@perkeso.gov.my. – BH Online