M Update, 12/6/2020 – Pelanggan berhak mendapatkan pengesahan bahawa tukang gunting khususnya pekerja warga asing di premis itu sudah menjalani saringan dan disahkan bebas COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, jika mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan bebas jangkitan dari mana-mana klinik dan hospital, sila lapor kepada pihak berkuasa.
“Biasa klinik akan keluarkan surat yang menyatakan tidak dikesan (jangkitan COVID-19) dalam surat dikeluarkan. Jadi pengunjung yang mahu gunting rambut berhak minta.
“Saya minta orang ramai boleh bantu kerajaan dan bila kita minta dan mereka gagal kemuka, lapor terus kepada pihak berkuasa. Ini jelas, pekerja asing yang belum ada sijil saringan ini, ia langgar perintah kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.
Mengenai dakwaan ada pekerja kedai gunting disahkan positif, Ismail Sabri berkata, laporan terperinci belum diterima dan jika ada, premis itu akan ditutup serta semua kontak rapat dikesan.
“Saya belum dapat laporan terkini. Mungkin pihak Ketua Pengarah Kesihatan akan beri komen pada sidang medianya petang ini. Saya tidak boleh sahkan ya atau tidak,” katanya.