M Update, 17/6/2020 – Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan pertahanan dua hala dengan Indonesia dan Bangladesh demi kepentingan bersama, meskipun dunia berdepan pandemik COVID-19.
Selain itu, negara turut membincangkan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh ke negara asal susulan penularan COVID-19.
Komitmen itu dizahirkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md Shahidul Islam dan sesi sidang video bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, yang berlangsung petang semalam.
Dalam perbincangan bersama Prabowo, Ismail Sabri berkata, kedua-dua pihak memperakui hubungan dua hala yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia dan penting untuk meningkatkan hubungan pertahanan dengan menekankan kepentingan meluaskan kerjasama sedia ada.
“Perbincangan terbuka merangkumi topik yang luas antara kedua-dua menteri mencerminkan keakraban dua negara. Ini kerana kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia sudah lama terjalin dan terus berkembang melalui Jawatankuasa Am Persempadanan yang ditubuhkan pada 1972.
“Hubungan pertahanan ini turut diperkukuhkan melalui beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau seperti Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang membabitkan Filipina, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Dalam sidang video yang diadakan pada jam 4.30 petang itu juga, Prabowo turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan beliau sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Pertahanan.
Terdahulu, melalui kunjungan hormat Md Shahidul, perkara yang dibincangkan ialah mengenai usaha untuk memperkukuhkan hubungan pertahanan antara dua negara serta isu berkaitan penularan wabak COVID-19, termasuk penghantaran balik PATI ke negara itu. – BH Online