M update, 3/12/2020 – Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan reservasi ke atas Artikel 9(2) Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) berkaitan hak kewarganegaraan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata ia selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dasar sedia ada kerajaan berkaitan taraf kewarganegaraan.
“Kedua-dua lelaki dan wanita warganegara Malaysia boleh memohon kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka yang lahir di luar negara di bawah Perkara 14 dan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Ia tertakluk kepada pematuhan syarat dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 (L.N.82/1964) serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan Cadangan Umum Jawatankuasa CEDAW No.34 untuk memastikan wanita mempunyai hak kewarganegaraan sama rata.
Menjawab soalan tambahan, Ismail berkata, kewarganegaraan bagi anak pasangan wanita tempatan dan lelaki warga asing yang berkahwin secara teratur dan diiktiraf serta dilahirkan di luar negara akan mengikut taraf kerakyatan bapanya.
Katanya, ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan berlaku situasi anak dilahirkan pasangan berkenaan mendapat dua warganegara.