M Update, 07/01/2021 – Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terhadap mangsa banjir terus terserlah apabila baginda berkenan meninjau keadaan banjir di Pahang menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan dengan menaiki pesawat EC725 pada jam 9 pagi tadi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.
“Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga untuk menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Al-Sultan Abdullah berangkat pulang dari Istana Negara, kelmarin, bagi meninjau keadaan banjir di Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebelum berangkat ke Kuantan.