Input your search keywords and press Enter.

PERANAN GENERASI MUDA DAN SEMANGAT 1957

Kemerdekaan memberikan satu makna yang besar kepada sebuah negara. Ia melambangkan sebuah erti kebebasan daripada cengkaman penjajah yang mencengkam sebuah negara. Sejarah membuktikan perjuangan menuntut kemerdekaan bukan sahaja untuk menjamin kedaulatan tetapi keselamatan sebuah negara yang sedang mengalami satu bentuk transformasi dan pembangunan selepas Perang Dunia Kedua. Peperangan mengajar banyak perkara dalam sejarah manusia. Kesedaran terhadap kedaulatan dan keselamatan menjadi tonggak kepada erti sebuah semangat kemerdekaan.

Para penjuang kemerdekaan melihat masa depan sebuah negara perlulah diutamakan dengan membawa semangat perpaduan dan saling memerlukan. Konsep kemajmukan yang kita hayati berabad lama menjadi sebuah semangat baru untuk memerdekakan negara kita daripada penjajah. Semangat 1957 merupakan satu kemenangan di atas segala usaha mendapatkan kemerdekaan melalui usaha-usaha diplomasi dan perundingan yang amat jelas. Apabila para pemimpin mengemukakan cadangan kemederkaan, nilai perpaduan dikalangan masyarakat yang berbilang kaum telah menjadi satu asas dan nilai utama untuk mewujudkan sebuah negara merdeka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya. Pengalaman perit sebelum ini dijadikan sebagai asas kepada perpaduan dan kerjasama antara kaum di negara kita.

Setelah lama masa berlalu, usaha-usaha mengisi kemerdekaan telah memberikan hasil yang begitu membanggakan. Pengisian erti kemerdekaan mengikut fasa pembangunan masyarakat melalui dasar-dasar kerajaan dan bentuk masyarakat ketika itu membuka ruang pengisian kemerdekaan daripada semua pihak dalam konsep kekeluargaan Malaysia yang menghormati antara satu sama lain dan mendukung semangat 1957 yang dibawa oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita.

Namun hari ini beberapa perubahan yang berlaku sama ada dalam bentuk pendidikan, ekonomi dan perubahan teknologi komunikasi yang pantas melalui proses digitalisasi demokrasi dan kebebasan bersuara terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini menjadi satu cabaran dalam mengisi semangat 1957 yang diperjuangkan oleh pemimpin kita.

Generasi muda masa kini semakin pintar dan bijak dalam menilai erti perjuangan dan kemerdekaan melalui siri kempen dan pengajaran yang mereka perolehi secara rasmi atau tidak rasmi. Seruan YAB Perdana Menteri untuk generasi muda turut sama dalam mengisi semangat kekeluargaan Malaysia berpandukan semangat perpaduan dan kekitaan perlu diperkasakan bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian.

Generasi muda perlu menghayati semangat ini dengan mendukung perlembagaan bagi mengukuhkan semangat kesetiaan kepada negara dan ketahanan minda dan pemikiran agar tidak mudah terpesong daripada landasan sebenar penubuhan negara kita. Sinergi dan tenaga daripada generasi muda perlu digemblengkan bagi memastikan kesinambungan semangat 1957 terus dipertahankan.

Amat penting bagi generasi muda hari ini prihatin dan peka dengan keadaan sekeliling mereka. Walaupun dunia digital telah banyak mengubah cara pemikiran kita tetapi usaha mempertahankan kedaulatan dan keharmonian perlu diteruskan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama. Generasi muda perlu terus membawa semangat dan obor kemerdekaan ini dengan penghayatan sebenar erti kemerdekaan. Tenaga yang dihasilkan oleh mereka perlu disalurkan untuk membangunkan negara terutamanya dalam era pandemik ini.

Kumpulan ini perlu menjadi barisan utama dalam memastikan proses pembangunan dan pemodenan negara ini terus berjalan. Usaha pemulihan negara dari segi aspek ekonomi, politik dan sosial perlu melibatkan kumpulan ini agar segala idea dan kreativiti yang mereka ada boleh memanafaatkan negara dan masyarakat.

Naratif kemerdekaan 1957 perlu diteruskan dan disemai bagi melihat negara ini terus kekal dalam keadaan harmoni dan sentosa. Usaha untuk membalas budi perlu menjadi fokus utama generasi muda untuk melambangkan rasa kasih dan sayang mereka kepada pejuang-pejuang kemerdekaan. Isilah semangat kemerdekaan ini melalui usaha-usaha yang boleh memberikan manafaat kepada Keluarga Malaysia yang kita sayangi dan hargai. Setiap usaha dan pengorbanan yang kita lakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar sedang ditulis sebagai satu bentuk rakaman sejarah yang akan menjadi panduan dan kenangan yang amat berharga.

Rakaman ini akan menjadi satu bentuk bukti yang menunjukkan bahawa kita sentiasa menghargai erti kemerdekaan tidak kira apa sahaja budi dan sumbangan yang kita berikan. Kegagalan untuk kita mengisi erti kemerdekaan pasti akan meninggalkan satu parut yang tidak mahu kita kenangkan dalam hidup kita. Jadikan setiap perkara yang berlaku sebagai satu kekuatan yang mampu mengukuhkan perpaduan dan keharmonian untuk kita bersama.

Dr Suhaimee Saahar @ Saabar

Pengarah

Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media

UiTM, Shah Alam

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update