M Update, 26/09/2022 – Sebarang tindakan susulan Malaysia berhubung kes penembakan jatuh pesawat MH17 hanya akan dibuat selepas mahkamah di Belanda membuat keputusan mengenainya pada 17 November depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di sini pada kelmarin, beliau menyuarakan pendirian negara yang mahu bersikap adil kepada semua pihak yang dikaitkan dengan insiden itu.
“Kes ini telahpun berada di peringkat mahkamah dan keputusan November ini, kita akan sama-sama tunggu keputusan. Apa-apa tindakan akan kita buat selepas keputusan mahkamah. Sebab MH17 ini babitkan ramai rakyat Belanda dan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini.
Kedua-dua pemimpin itu berada di bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 dan bertemu di ibu pejabat PBB.
Mahkamah Daerah The Hague akan memutuskan perbicaraan kes MH17 pada 17 November depan. Ia membabitkan empat individu yang menghadapi 298 pertuduhan membunuh kerana didakwa menembak jatuh pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Perdana Menteri mengakui terdapat tekanan terhadap Malaysia untuk menyertai beberapa negara mengambil tindakan terhadap Rusia yang dituduh terbabit dengan kejadian itu, namun Malaysia tetap dengan pendirian untuk menunggu keputusan mahkamah.
Ismail Sabri juga berkata, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan jalinan hubungan dua hala, termasuk perdagangan dan bantuan teknikal untuk menangani isu banjir di Malaysia.
“Kita mendapat nasihat daripada pakar-pakar Belanda yang datang ke Malaysia tahun ini untuk membantu kita susulan banjir besar tahun lalu. Belanda, walaupun kebanyakan tanahnya berada di bawah paras laut, mereka mampu kawal banjir,” katanya.
Dari segi perdagangan, katanya, Belanda adalah pembeli minyak kelapa sawit terbesar di Eropah, manakala Malaysia banyak mengimport produk-produk pertanian dari negara itu. – BERNAMA