Input your search keywords and press Enter.

Minta Derma Untuk Rakyat Palestin: PM Ingatkan Orang Ramai Agar Berwaspada

M Update, 29/08/2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mesej di media sosial yang kononnya mengutip derma untuk rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Anwar menzahirkan peringatan itu semasa mesyuarat Jemaah Menteri semalam. 

“Kerajaan tidak mengutip derma bagi tujuan membantu, membiaya dan menyediakan makanan bagi warga Palestin yang menerima rawatan di Malaysia pada waktu ini,” katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi semalam. 

Beliau berkata orang ramai yang menerima mesej itu dinasihat agar membuat laporan polis atau mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Pada 16 Ogos lepas, dua pesawat Airbus A400M TUDM membawa 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 ahli keluarga mereka selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang, Selangor pada kira-kira 2 petang setelah berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Al Maza di Kaherah, Mesir pada petang 15 Ogos.