Input your search keywords and press Enter.

PM Tiba Di Rusia Lawatan Kerja Dua Hari

Foto: X Datuk Seri Anwar Ibrahim

M Update, 04/09/2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Vladivostok, Rusia pagi ini untuk lawatan kerja dua hari ke bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Rusia.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada 8.33 pagi waktu tempatan (6.33 pagi waktu Malaysia).

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.

Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai dan menyambut ketibaan bagi pihak Rusia Pengarah Third Asian Department Ludmilla Vorobieva; Timbalan Gabenor Wilayah Primorskii Aleksei Nazdratenko dan Timbalan Datuk Bandar Vladivostok Daria Stegniy.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September. Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 September

Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kerana Rusia memegang jawatan Pengerusi BRICS.

Sementara itu, pertemuan Anwar dengan Putin akan memberi peluang kedua-dua pemimpin untuk membincangkan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan selain meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi termaju.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka bertukar-tukar perspektif mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah, selain turut membincangkan kerjasama dalam konteks Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia.

Anwar juga dijangka bertemu Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov yang merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam serta menerima kunjungan hormat Rais (Ketua) Tatarstan Rustam Minnikhanov.

Ini adalah lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.