Input your search keywords and press Enter.

UPSR, PT3 Kekal Mansuh – KPM

M Update, 23/09/2024 – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, buat masa ini Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan terdahulu untuk memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Keputusan untuk mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu perlu dibuat secara holistik dan tidak boleh dilihat dari satu aspek sahaja. Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk mendapatkan pedoman, namun setakat ini KPM kekal dengan keadaan sedia ada.

Beliau mengulas desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR serta PT3 yang dimansuhkan pada 2022 atas alasan ia membantu aspek kemenjadian murid dan mendakwa ketiadaan peperiksaan itu telah menyumbang kepada keciciran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya lagi, anak-anak kita bukan tikus makmal, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada. Kita kena ada ketetapan dan kita telah buat pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka (murid),” katanya.

KPM juga kini menumpukan pada pendekatan baharu kurikukum persekolahan 2027 dan dalam proses merangka pelan pembangunan pendidikan baharu bagi menetapkan hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun bermula 2026.