Input your search keywords and press Enter.

‘Tiada Guna Saya Jadi PM Kalau Kompromi Isu GISBH’

M Update, 26/09/2024 – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dalam menyelesaikan isu kontroversi membabitkan rumah amal syarikat GISB Holdings (GISBH).

Perdana Menteri berkata, sekiranya tindakan tidak diambil ke atas isu itu, beliau mengumpamakan dirinya gagal sebagai seorang pemimpin.

“Setakat ini alhamdulillah, tuhan beri saya kesihatan yang baik, tetapi saya nekad dan tidak akan mengalah, kalau itu (isu GISBH) nak kena kompromi, tiada makna saya jadi Perdana Menteri,” katanya dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani ‘Mencorak Peralihan Tenaga yang Mampan untuk Masa Depan Negara yang Sejahtera’,semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sesiapa yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tidak kira sama ada individu itu sering bercakap mengenai Islam.

“Mentaliti kita soal akhlak dan nilai itu jadi kebelakang. Walaupun (dia seorang) pensyarah dan cakap mengenai Islam (sampai) berbuih mulut, tapi kita tetap akan ambil tindakan (sekiranya dia terbabit) rasuah (atau) Global Ikhwan (GISBH). Itu akan ditentang,” katanya

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, kaedah perniagaan GISBH dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi kumpulan itu sendiri.

Razarudin berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati pegangan salah itu digunakan GISBH dalam melaksanakan perniagaan mereka.

PDRM memperoleh lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September ini. – BH